Cara Memandikan Bayi Baru Lahir
Panduan langkah demi langkah memandikan bayi baru lahir, sebelum dan selepas tali pusat tanggal, berserta tip keselamatan dan cara memilih pencuci bayi.

Kulit bayi baru lahir sangat halus, jadi waktu mandi perlu dilakukan dengan lembut dan tenang. Berikut panduan mudah memandikan si kecil, sebelum dan selepas tali pusatnya tanggal.
Memandikan bayi buat kali pertama memang mendebarkan, lebih-lebih lagi bagi ibu yang baru pertama kali melahirkan anak. Caranya berbeza sedikit antara bayi yang tali pusatnya masih ada dengan bayi yang tali pusatnya sudah tanggal. Dalam artikel ini, kami kongsikan semuanya, daripada sebab bayi perlu dimandikan hingga cara memilih pencuci bayi yang lembut.
Mengapa bayi perlu dimandikan
Mandi menjaga kebersihan kulit si kecil, terutamanya di lipatan leher, ketiak dan kawasan lampin tempat susu, peluh dan air kencing mudah terkumpul. Mencuci rambut secara teratur juga membantu mengelakkan minyak dan sisik kulit kering terkumpul di kulit kepala dan kening.
Waktu mandi juga saat yang istimewa untuk Mama dan si kecil. Nationwide Children's Hospital di Amerika Syarikat menyifatkan waktu mandi sebagai peluang yang baik untuk berbual dengan bayi, membiarkan dia mendengar suara Mama dan bertentang mata.
Berapa kerap bayi perlu dimandikan dan bila
Bayi baru lahir tidak semestinya perlu dimandikan setiap hari. Dua atau tiga kali seminggu sudah memadai untuk kebersihan, asalkan muka, leher, tangan dan kawasan lampin dibersihkan setiap hari. Mandi terlalu kerap dengan sabun boleh mengeringkan kulit bayi.
Namun, cuaca di Malaysia panas dan lembap, dan ramai bayi berpeluh. Jika Mama mahu memandikan si kecil setiap hari supaya dia rasa segar dan tidur lebih lena, itu juga tidak mengapa. Gunakan air suam, sedikit pencuci bayi yang lembut, dan pastikan masa mandi singkat, sekitar 5 hingga 10 minit.
Waktunya terpulang kepada Mama. Ada ibu bapa yang suka memandikan bayi pada waktu pagi, ada yang memilih waktu petang sebagai sebahagian daripada rutin sebelum tidur. Yang penting, pilih waktu Mama tidak tergesa-gesa dan si kecil tidak terlalu lapar atau baru selesai menyusu.
Cara memandikan bayi yang tali pusatnya belum tanggal

Sebelum tali pusat tanggal, mandikan si kecil dengan cara mengelap badan menggunakan span atau kain lembut. American Academy of Pediatrics (AAP) mengesyorkan mandian span sehingga tali pusat tanggal sendiri.
Tali pusat biasanya kering dan tanggal dalam masa satu hingga tiga minggu. Pastikan ia sentiasa bersih dan kering, dan lipat bahagian atas lampin ke bawah supaya tidak menggesel tali pusat. Jumpa doktor jika tali pusat belum tanggal selepas tiga minggu, atau jika kulit di sekelilingnya merah, bengkak, berbau busuk, bernanah atau berdarah.
Ikuti langkah-langkah dalam carta di bawah. Mama boleh simpan carta ini dalam telefon bimbit sebagai rujukan.

Cara memandikan bayi yang tali pusatnya sudah tanggal
Selepas tali pusat tanggal dan kawasan pusat sudah kering, si kecil boleh dimandikan di dalam tab mandi bayi. Pada mulanya, si kecil mungkin terkejut dan menangis kerana belum biasa. Masukkan dia ke dalam air secara perlahan-lahan, bermula dengan kaki, sambil kepala dan lehernya disokong dengan lengan Mama.
Ikuti panduan visual di bawah, dan simpan juga dalam telefon bimbit Mama.

8 tip keselamatan ketika memandikan bayi
Dengan sedikit latihan, memandikan si kecil akan menjadi rutin yang Mama nanti-nantikan. Ingat perkara-perkara penting ini:
- Jangan sekali-kali tinggalkan si kecil tanpa pengawasan, walaupun sesaat. Bayi boleh lemas dalam air yang sangat cetek.
- Jangan isi tab mandi terlalu penuh. AAP mengesyorkan paras air sekitar 5 cm (2 inci) untuk bayi kecil.
- Pastikan air suam, bukan panas. Suhu yang sesuai ialah sekitar 37°C. Tanpa termometer, rasa air dengan siku atau pergelangan tangan Mama; ia patut terasa suam sahaja. Campurkan air sejuk dahulu, kemudian air panas, dan kacau rata.
- Pastikan bilik tidak berangin. Tutup kipas dan pendingin hawa sebentar, kerana bayi cepat sejuk apabila basah dan tidak berpakaian.
- Pegang si kecil dengan kemas. Kulit yang bersabun sangat licin.
- Sediakan semua barang sebelum bermula. Tuala, lampin, pakaian, pencuci bayi dan kain lembut perlu berada dalam jangkauan, supaya Mama tidak perlu meninggalkan si kecil.
- Pilih pencuci bayi yang lembut dan gunakan sedikit sahaja.
- Cuba produk baharu pada kawasan kecil dahulu. Sapukan sedikit pada lengan si kecil dan perhatikan selama 24 jam. Jika kulitnya tidak merah atau merengsa, produk itu sesuai untuknya.
Cara memilih pencuci badan dan rambut untuk bayi
Terdapat banyak pilihan pencuci bayi di pasaran. Pilih yang dibuat khas untuk bayi, dengan pH yang sesuai untuk kulit, dan baca senarai bahan sebelum membeli. Ramai ibu bapa memilih formula:
- tanpa pewangi yang kuat
- tanpa SLS dan SLES, iaitu agen pembuih yang boleh mengeringkan kulit sensitif
- tanpa paraben dan pewarna
- tanpa alkohol, yang boleh mengeringkan kulit
Bahan seperti gliserin, seramida dan minyak semula jadi pula membantu kulit kekal lembap, jadi tidak perlu dielakkan.
Selepas mandi: lembapkan kulit si kecil
Selepas mandi, keringkan si kecil dengan menekap tuala lembut, terutamanya di celah lipatan kulit. Kemudian, inilah masa yang sesuai untuk melembapkan kulitnya, terutamanya jika si kecil tidur dalam bilik berhawa dingin.
Mama's Choice Baby Body Cream dibuat untuk kulit bayi dari 0 bulan. Ia melembapkan dan melembutkan kulit si kecil, dan membantu melindunginya daripada kekeringan. Krimnya mengandungi minyak avokado, minyak zaitun, minyak badam manis dan shea butter, serta pantenol, niasinamida dan vitamin E. Teksturnya lembut dan mudah diratakan, jadi sesuai untuk diurut perlahan-lahan pada tangan, badan dan kaki si kecil selepas mandi. Formulanya tanpa paraben dan tanpa alkohol.
Mama boleh mendapatkan Baby Body Cream dan produk Mama's Choice yang lain di Shopee.
Kongsi artikel ini
Artikel ini untuk makluman sahaja dan bukan pengganti diagnosis atau nasihat perubatan. Bincangkan keadaan Mama dengan bidan atau doktor.