Search

Tips Pemakanan Sihat Ketika Menyambut Hari Raya Untuk Ibu Hamil

Hari Raya akan menjelang tidak lama lagi dan semua pasti tertunggu-tunggu untuk menikmati keenakan dan kepelbagaian juadah raya daripada rendang daging dan ketupat hinggalah ke dodol dan kuih tart nenas! Akan tetapi, ibu-ibu yang hamil haruslah sentiasa berwaspada dan berjaga-jaga dalam menikmati juadah raya nanti kerana tidak semua bagus untuk kesihatan bayi di dalam perut. Jom kita lihat tips pemakanan sihat yang ibu hamil boleh ikut ketika menyambut Hari Raya!

Ibu hamil sememangnya perlu mengambil berat dalam rutin pengambilan makanan setiap hari. Selain daripada perlunya makanan yang bernutrisi untuk perkembangan janin, ibu hamil juga perlu mengelakkan makanan yang boleh mendatangkan kesan merbahaya kepada kandungan. Contohnya, mempunyai bakteria ataupun ramuan yang boleh menyebabkan kandungan terjejas, kecacatan bayi dan sebagainya.

Sebenarnya terdapat makanan yang boleh melemahkan sistem imun ibu sekaligus mengakibatkan kecacatan kepada janin. Jadi, pastikan sebahagian besar makanan yang ibu nikmati dimasak sepenuhnya. Selain itu, pastikan juga makanan yang diambil dapat melindungi bayi dalam kandungan daripada bakteria berbahaya.

Ibu hamil juga perlu ambil perhatian semasa memilih makanan dan nilai nutrisi makanan yang anda beri kepada janin. Pengambilan kandungan vitamin dan mineral seperti asid folik, zat besi, Vitamin C dan Vitamin A adalah amat penting untuk tumbesaran bayi yang sempurna. Ianya perlu mencukupi dalam diet harian sepanjang tempoh kehamilan anda.

Makanan Yang Perlu Dielakkan Ketika Hari Raya

Terdapat pelbagai jenis makanan yang perlu dielakkan semasa hamil. Antara makanan yang dinasihatkan untuk tidak diambil ketika sedang hamil adalah seperti :-

1. Makanan Pedas

Tidak dinafikan masyarakat Malaysia memang cukup gemarkan makanan pedas. Lebih pedas, lebih ‘kick’. Terutamanya, di waktu perayaan seperti Hari Raya memang kebanyakan juadah yang disediakan memang pedas.

Contohnya seperti sambal yang kita nikmati bersama lontong. Rendang ayam dan pelbagai lagi. Makanan pedas sebenarnya mengandungi asid dan juga berminyak. Kepedasan daripada cili yang mengandungi capsaicin boleh menyebabkan keradangan perut.

Jika ibu ingin menikmatinya, boleh mengambil pada kuantiti sederhana jangan berlebihan. Ini kerana makanan pedas juga boleh menyebabkan kembang perut, muntah-muntah dan dehidrasi.

2. Kuih dan Biskut Raya

Antara hidangan yang sangat dinantikan oleh ibu di pagi raya tentulah ingin menjamah biskut raya. Ini terutama biskut tradisi seperti tart, semperit, tart nenas dan pelbagai lagi. Kebiasaannya biskut raya ini mengandungi kandungan gula yang agak tinggi.

Selain itu makanan berlemak seperti biskut, kek dan kuih-muih seperti dodol dan wajik juga mengandungi kandungan gula yang tinggi. Ibu hamil sebenarnya boleh menikmatinya tetapi pada kadar seminimum yang mungkin. Ini kerana makanan yang mengandungi gula yang tinggi boleh menyebabkan penyakit kencing manis.

3. Makanan dan Minuman Berkafein

Menikmati makanan dan minuman berkafein pada Hari Raya dalam kuantiti yang sedikit sebenarnya tidak akan mendatangkan sebarang mudarat kepada ibu hamil mahupun bayi dalam kandungan. Cuma ia menjadi berbahaya dan mendatangkan kemudaratan apabila diambil dalam kuantiti yang berlebihan untuk tempoh masa berterusan.

Bayi yang akan dilahirkan berisiko untuk kurang berat, kelahiran pra-matang atau lebih parah ibu akan berdepan dengan risiko keguguran. Kafein bukan sahaja didapati dalam kopi tetapi dalam minuman soda, minuman tenaga atau teh dan minuman bercoklat.

Perkembangan bayi dalam kandungan menjadi tidak normal, boleh menganggu kepada tumbesaran bayi dan menyebabkan bayi kurang berat sewaktu lahir. Kafein juga boleh menyebabkan komplikasi lain kepada ibu hamil seperti merosakkan kandungan kalsium dalam tulang.

Kuantiti pengambilan kafein bagi wanita hamil terhad kepada 200mg setiap hari atau bersama 2-3 cawan. Ini kerana kafein sangat merbahaya kerana ia boleh bertindak dengan pantas merebak masuk ke dalam plasenta. Untuk pengetahuan semua, bayi yang lahir dengan berat badan tidak normal akan berisiko kepada kematian sewaktu proses kelahiran. Bukan itu sahaja, bayi juga berisiko menghidapi penyakit kronik seperti penyakit diabetes dan penyakit jantung apabila sudah dewasa.

Ini disebabkan oleh khasiat zat besi tidak dapat dibekalkan dengan sempurna kepada ibu dan berpotensi tinggi untuk kelahiran pra-matang jika mengambil kafein secara berlebihan dalam menu pemakanan.

4. Makanan Bergoreng dan Berminyak

Makanan bergoreng seperti murukku dan papadom (biasanya dinikmati bersama dengan nasi tomato, nasi biriyani), untuk ibu hamil haruslah dielakkan. Makanan ini bukan sahaja digoreng menggunakan minyak yang banyak bahkan ianya juga diletakkan bersama bahan perasa seperti MSG. Dan ini tidak baik untuk kesihatan ibu dan juga janin didalam kandungan.

Bahan perasa ini juga membuatkan ibu lebih ketagih. Biasanya mereka akan menikmati kudapan ini tanpa henti.

5. Kekacang

Bagi wanita hamil yang mempunyai sejarah penyakit alahan kekacang adalah tidak digalakkan mengambil hidangan yang mempunyai unsur kekacang. Contohnya, kuah kacang yang biasanya dinikmati bersama nasi impit.

Ini juga bagi mengelakkan bayi dalam kandungan mempunyai alahan yang sama. Sekalipun jika boleh diambil haruslah dipantau dan dikawal. Antara penyakit yang boleh dihidapi oleh bayi adalah seperti penyakit alahan dan asma/lelah.

Begitu juga dengan kacang tanah yang dikatakan mengandungi sejenis kulapuk yang dipanggil aflatoksin. Kulapak ini boleh mendatangkan bahaya kepada bayi dalam kandungan.

Sememangnya kekacang kaya dengan sumber protein, namun bagi wanita hamil yang mempunyai sejarah alahan dan sejarah penyakit G6PD perlu hindarkan diri daripada mengambil kekacang.

Namun, jika di hari Raya ibu teringin untuk menikmati kacang, pilihlah kacang parang atau kacang kuda kerana ianya mempunyai kandungan lemak baik atau omega yang tinggi. Kacang panggang adalah yang terbaik dan jangan pilih yang bergoreng.

6. Minuman berkarbonat

Biasanya kita memanggilnya sebagai air bergas. Minuman berkarbonat memang boleh membuatkan kita ketagih. Apatah lagi dengan pelbagai jenama minuman berkarbonat hari ini menawarkan variasi perisa yang sentiasa menjadi hidangan terutama di musim perayaan. Apa sahaja jenamanya, secara umum, kandungan minuman berkarbonat adalah sama banyak gulanya.

Kajian mendapati, pengambilan minuman ringan dan berkarbonat yang berlebihan akan menyumbang kepada masalah kesihatan, terutama berlebihan berat badan dan obesiti.

Masalah pertambahan berat badan ini juga menjadi satu faktor risiko kepada penyakit kencing manis terutama buat ibu hamil. Ianya juga mendedahkan seseorang kepada risiko serangan jantung dan strok.

Jadi ibu hamil sekalian, minumlah air putih biarpun ketika menikmati juadaha Hari Raya. Ini kerana ianya lebih selamat dan ada juga khasiatnnya yang tersendiri.

7. Makanan Berpulut

Makanan berpulut seperti lemang, ketupat palas dan pulut kuning sememangnya sentiasa menjadi kegemaran terutamanya apabila dinikmati bersama rendang. Namun buat wanita hamil, perlu berhati-hati ketika menikmat makanan berpulut.

Ini kerana pulut sifatnya sedikit berangin. Pengambilan secara berlebihan boleh menyebabkan sakit urat satu badan, sakit kepala dan perut terasa kembung. Jadi, untuk ibu hamil digalakkan mengambil pada kuantiti yang sedikit sahaja.

8. Makanan ringan

Ramai ibu hamil suka makan makanan ringan selepas menikmati juadah berat di hari raya. Sebenarnya makanan ini tidak baik untuk kesihatan. Kandungannya kurang vitamin dan tidak bernutrisi. Bahkan, jika dilihat kepada makanan ringan, rata-ratanya mempunyai kalori, gula dan lemak tambahan yang sangat tinggi dan ini akan membahayakan diri sendiri dan bayi di dalam kandungan. Ini kerana ianya boleh menyebabkan ibu berisiko mengalami pelbagai penyakit seperti obesiti, kencing manis, darah tinggi dan pelbagai lagi penyakit kronik yang merbahaya,

Jadi jauhkan diri daripada sebarang makanan ringan sama ada keropok, kentang goreng segera, kerepek segera dan makanan yang diproses ketika menikmati juadah raya.

Lihat juga: 10 Makanan Yang Boleh Membantu Kecerdasan Otak Bayi Di Dalam Kandungan

Tips Pemakanan Sihat Ibu Hamil Ketika Hari Raya

Hari Raya sememangnya membuatkan kita teruja untuk menikmati pelbagai juadah hidangan deisediakan. Namun begitu, ibu hamil perlulah sentiasa beringat bahawa tidak semua juadah hidangan Hari Raya sesuai untuk diet pemakanan.

Antara hidangan berkhasiat yang ibu hamil boleh nikmati ketika menyambut Hari Raya termasuklah:

Nikmati hidangan seperti buah-buahan

Di pagi Raya, sangatlah digalakkan untuk ibu hamil mengambil makanan yang boleh alas perut terlebih dahulu. Contohnya seperti buah limau dan epal hijau sebelum menikmati juadah sinonim pada hari raya seperti lemang dan rendang.

Elakkan Pengambilan Protein Bercampur

Jika dilihat di atas meja begitu banyak hidangan yang disediakan. Jangan terlalu teruja untuk menikmai ke semuanya dalam satu-satu masa. Sebagai contoh ibu mengambil hidangan berasaskan ayam, daging, sotong dan ikan dalam satu masa. Ini perlu dielakkan. Untuk informasi, usus biasanya akan menghadamkan protein yang paling ringkas sahaja seperti ikan. Jadi protein daripada daging, sotong dan ayam jika tidak dibuang secara tidak langsung menjadi toksin yang boleh menyebabkan penyakit migrain dan masalah-masalah lain.

Adalah disarankan untuk satu masa, jika ibu mengambil hidangan lemang, nikmatilah dengan salah satu sumber protein samada rendang ayam ataupun daging dendeng yang tidak terlalu pedas.

Lebihkan Minum Air Putih dan Jus Buahan

Pengambilan minuman berkafein bersama lemang, rendang dan sebagainya sememangnya boleh memudaratkan usus. Sebaiknya minumlah air putih atau jus buah-buahan.

Jika teringin untuk menikmati minuman berkafein, boleh diambil pada kuantiti sedikit sahaja. Bagi mengelakkan risiko yang tidak diingini terjadi bukan sahaja pada ibu bahkan pada bayi di dalam kandungan.

Author Mama's Choice Team

Mama's Choice Team

The Mama's Choice MY team is consisted of 4 beautiful mamas who are strong and dedicated in being the support system that many mamas need these days. <3

COMMENTS

0 Comments
Leave a comment

Your Cart (0)

Close

Add RM50.00 to earn Free shipping!

Mini Cart

Your cart is empty.

Shop now