Colic pada Bayi? Kenali Simptom, Punca dan Cara Menanganinya
Bayi menangis berjam-jam tanpa sebab yang jelas? Ia mungkin colic. Kenali tandanya, kemungkinan puncanya, cara menenangkan si kecil dan bila perlu ke doktor.

Si kecil menangis lama tanpa sebab yang jelas, walaupun sudah kenyang dan lampinnya bersih? Mama tidak perlu rasa bersalah. Ini mungkin colic, sesuatu yang dialami oleh ramai bayi. Mari kenali simptom, kemungkinan punca dan cara menanganinya.
Apa Itu Colic?
Semua bayi menangis. Tetapi colic, yang dalam masyarakat kita kadangkala disebut "sawan tangis", ialah tangisan yang berpanjangan dan sukar dihentikan pada bayi yang sihat, tanpa sebab yang jelas. Menurut Johns Hopkins Medicine, colic biasanya ditakrifkan sebagai tangisan selama lebih daripada 3 jam sehari, lebih daripada 3 hari seminggu, selama lebih daripada 3 minggu.
Takrif ini dikenali sebagai "peraturan tiga" atau Kriteria Wessel, sempena nama pakar pediatrik Dr Morris Wessel yang mengkajinya.
Colic agak biasa berlaku. Ia tidak berbahaya dan tidak menjejaskan tumbesaran bayi dalam jangka panjang, selagi si kecil menyusu dengan baik dan beratnya naik. Colic biasanya bermula sekitar usia 2 hingga 3 minggu, paling teruk sekitar 6 minggu, dan beransur hilang menjelang 3 hingga 4 bulan.
Apakah Punca Colic?

Hingga kini, punca sebenar colic belum diketahui. Berdasarkan maklumat daripada American Pregnancy Association, Johns Hopkins Medicine dan American Academy of Family Physicians, antara kemungkinannya:
- sistem penghadaman dan saraf bayi yang belum matang;
- angin atau rasa tidak selesa di dalam perut;
- terlalu banyak rangsangan, seperti bunyi dan cahaya;
- bayi masih belajar menenangkan diri;
- pada sesetengah bayi, alahan atau ketidaktoleransian terhadap protein susu lembu, sama ada dalam susu formula atau dalam makanan ibu yang menyusukannya;
- tidak disendawakan selepas menyusu.
Pendedahan kepada asap rokok, semasa hamil atau selepas bayi lahir, juga dikaitkan dengan risiko colic yang lebih tinggi.
Tanda-Tanda Bayi Mengalami Colic
Menangis ialah cara bayi memberitahu dia lapar, penat atau tidak selesa. Bayi colic pula menangis walaupun semua keperluannya sudah dipenuhi. Bagi Mama yang baru, memang sukar membezakannya. Ini tanda-tanda yang biasa:
- menangis walaupun baru selesai menyusu atau ditukar lampin;
- tangisan berlaku pada waktu yang lebih kurang sama setiap hari, biasanya lewat petang atau malam;
- menangis 3 jam atau lebih sehari, lebih daripada 3 hari seminggu;
- tangisannya kuat, seperti menjerit, berbeza daripada tangisan biasa;
- tangan menggenggam, lutut ditarik ke perut, muka merah dan belakang melengkung;
- perut terasa keras atau tegang ketika menangis;
- sukar ditenangkan walaupun sudah didukung.
Baca juga: 4 Cara Mudah Hilangkan Kembung Perut pada Bayi
Cara Menangani Colic pada Bayi

Ubat biasanya tidak disyorkan untuk colic. Yang lebih membantu ialah mencari apa yang mencetuskan tangisan dan cara menenangkan si kecil.
Bagi Mama yang menyusukan bayi: Jika Mama mengesyaki makanan tertentu, catat apa yang Mama makan dan minum, dan berbincang dengan doktor sebelum membuang sebarang makanan daripada diet. Sesetengah ibu mendapati mengurangkan kafein membantu. Jika Mama mengambil ubat, tanya doktor sama ada ia boleh memberi kesan kepada si kecil.
Bagi Mama yang memberi susu formula: Jangan kurangkan susuan si kecil. Jika Mama rasa susu formula mungkin menjadi punca, berbincang dengan doktor dahulu. Doktor mungkin mencadangkan formula yang lain. Susukan si kecil dalam keadaan separa tegak, pastikan saiz puting botol sesuai dengan usianya supaya dia tidak menelan terlalu banyak angin, dan sendawakan dia di pertengahan dan selepas susuan.
Cara lain yang boleh Mama cuba:
- bedung si kecil dengan kain nipis, pastikan muka terbuka dan pinggul bebas bergerak (hanya untuk bayi yang belum boleh berguling);
- dukung dan peluk si kecil apabila dia mula menangis;
- buai perlahan-lahan, atau bawa dia berjalan dengan kereta sorong bayi;
- tenangkan dia di bilik yang sunyi dan malap;
- mandikan dengan air suam;
- urut perutnya dengan lembut;
- nyanyikan lagu atau mainkan bunyi latar yang perlahan.
Urutan untuk Menenangkan Bayi Colic
Urutan bayi yang lembut sering dicadangkan untuk menenangkan bayi colic. Sentuhan Mama sendiri memang sangat menenangkan. Mama boleh mengusap perutnya perlahan-lahan mengikut arah jam dengan tapak tangan, "jalankan" jari melintasi perutnya, atau bengkokkan lututnya perlahan ke arah perut.
Gerakan ini boleh membantu si kecil melepaskan angin jika tangisannya berpunca daripada perut kembung. Gunakan sedikit minyak atau krim yang dibuat untuk kulit bayi supaya tangan mudah bergerak, dan elakkan minyak pati yang kuat pada bayi yang masih kecil.
Baca juga: Cara Mengurut Bayi Colic: 5 Teknik Urutan Lembut
Bila Perlu Berjumpa Doktor?

Dapatkan rawatan doktor segera jika si kecil:
- tidak dapat ditenangkan langsung, atau tangisannya berbunyi luar biasa;
- sukar menghisap dari botol atau payudara, atau menyusu kurang daripada biasa;
- tidak mahu didukung atau disentuh;
- cirit-birit, atau ada darah dalam najis;
- sukar bernafas;
- lemah, tidak bermaya atau sukar dikejutkan;
- muntah dengan kuat, atau muntah berwarna hijau;
- ubun-ubun kelihatan membonjol;
- kurang lampin basah daripada biasa;
- sawan (kejang);
- demam 38°C atau lebih bagi bayi bawah 3 bulan, atau 39°C atau lebih bagi bayi 3 bulan ke atas.
Dalam kecemasan, hubungi 999 atau terus ke jabatan kecemasan hospital yang berdekatan.
Membantu Doktor Membuat Diagnosis
Sebelum berjumpa doktor, Mama boleh mencatat:
- bila si kecil menangis, dan berapa lama;
- bunyi tangisannya, adakah lebih nyaring atau lebih kuat daripada biasa;
- apa yang Mama rasa mencetuskannya;
- bila dan berapa banyak dia menyusu;
- rupa dan warna najisnya;
- berapa kerap lampin basah.
Jaga Diri Mama Juga
Tiada satu cara yang berkesan untuk semua bayi. Ada tips yang membantu, ada yang tidak. Cuba satu demi satu, dan cari yang sesuai untuk Mama dan si kecil. Colic bukan salah Mama.
Tangisan yang berterusan sangat memenatkan. Jika Mama rasa terlalu tertekan, letakkan si kecil dengan selamat di dalam katilnya dan berehat beberapa minit di bilik lain. Minta pasangan atau keluarga mengambil alih. Jangan sekali-kali menggoncang bayi. Jika Mama perlukan seseorang untuk berbual, hubungi Talian Kasih di 15999 atau Befrienders KL di 03-7627 2929.
Semoga maklumat ini membantu Mama. Lihat produk penjagaan bayi Mama's Choice di kedai rasmi kami di Shopee.
Kongsi artikel ini
Artikel ini untuk makluman sahaja dan bukan pengganti diagnosis atau nasihat perubatan. Bincangkan keadaan Mama dengan bidan atau doktor.